Saringan Ketat Ke Atas Rayuan Matrikulasi 2011/2012

Kementerian Pelajaran menjalankan saringan ketat berdasarkan merit ke atas 35,000 rayuan bagi kemasukan ke program matrikulasi sesi 2011/2012.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi, berkata angka itu adalah amat besar bagi memenuhi tempat yang terhad selain terlalu ramai pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang.Beliau berkata, saringan berdasar merit itu selain melihat keputusan peperiksaan SPM, turut mengambil kira aktiviti kokurikulum pelajar dan latar belakang keluarga mereka.

“Kita persetujui supaya apa-apa pun sebelum perkara ini dibawa kepada umum, mereka perlu dapat penjelasan daripada kementerian supaya jangan timbul persepsi yang negatif seolah-olah pihak kami tidak telus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan majlis taklimat mengenai pengambilan pelajar ke program matrikulasi kementerian itu bagi sesi 2011/2012 kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Puad berkata, hasil taklimat itu wakil parti komponen yang hadir dilihat menerima penjelasan daripada pihak kementerian.

“Kita juga lebih suka lebih banyak pihak maklum tentang cara kita ambil pelajar matrik ini,” katanya.

Keputusan rayuan memasuki program matrikulasi diumumkan pada 4 Jun lalu dan pelajar yang berjaya diminta melaporkan diri sebelum akhir minggu ini.

Kementerian menerima 25,000 pelajar dan kuota pengambilan pelajar bagi bukan Bumiputera ditetapkan sebanyak 10 peratus sejak 2003.

“Saya turut berharap wakil parti komponen dapat menyampaikan penjelasan kriteria pemilihan kepada ahli termasuk ibu bapa pelajar berkaitan,” katanya.

– BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close