Polis dan SKMM Kesan Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara

Polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan identiti pengendali laman Twitter, Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara yang dikatakan terus menghina kesucian Islam dalam tulisannya.

Pengendali itu yang menggunakan nama @sitt_alwuzara dalam laman Twitternya kini dikatakan mempunyai seramai 3,255 pengikut yang mengikuti perkembangannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan SKMM untuk mengenal pasti identiti sebenar pengendali Twitter tersebut.

“Kita sedang mengesan lokasi pengendali Twitter itu sama ada dia beroperasi di negara ini atau di luar negara.

“Polis juga sedang menyiasat motif atau agenda di sebalik tindakan individu pengendali Twitter tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pemilik akaun Twitter yang sebelum ini cuba disekat oleh SKMM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Facebook dan blognya, kali ini terus mencabar kesucian Islam termasuk penggunaan gambar profilnya.

Gambar yang digunakan dalam akaun Twitter miliknya itu menunjukkan penyanyi pop Amerika Syarikat yang terkenal dengan imej pelik, Lady Gaga sedang duduk di atas rumah suci Kaabah sambil memegang mikrofon.

Difahamkan, laman Twitter itu mula beroperasi sejak 5 Mei lalu, lokasinya berada di Malaysia dan berinteraksi sebanyak 784 kali sejak dibuka.

Semalam, pemilik Twitter itu mengeluarkan kenyataan bertajuk Penerangan dari Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara yang menghina pelbagai pihak terutama SKMM dan KDN yang cuba menghalang kegiatannya.

Malah, dalam penjelasan itu, pemilik akaun tersebut turut mendakwa bahawa dia sebenarnya wanita Malaysia yang berketurunan Melayu dan beragama Islam serta pernah menunaikan ibadat haji.

Turut disertakan dalam penjelasan itu adalah salinan kad pengenalan lama dan baru milik seorang wanita Islam yang dikaburkan beberapa maklumat, konon mengenai dirinya serta gambar seseorang sedang memegang pasport menunjukkan dia pernah menunaikan ibadat haji.

Namun, apa yang menjadi tanda tanya kelima-lima jari kuku pemilik tersebut berwarna biru yang menimbulkan keraguan tentang status agamanya.

 

Facebook Comments
Close