Peserta-peserta Mari Menari Musim Ke-2

PROGRAM Mari Menari musim kedua bakal bersiaran pada setiap Sabtu dan Ahad bermula 18 dan 19 Jun ini pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104).

Seramai sepuluh pasangan akan bersaing untuk merebut gelaran juara seperti yang diraih oleh pasangan suami isteri, Raziff Abd. Rahman dan Alia Nadira Ahmad Zubir pada musim pertama dulu.

Pada musim kedua, peserta merangkumi pasangan suami isteri, ibu dan anak, bapa dan anak serta pasangan adik beradik.

Untuk pertama kali, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan yang diterajui oleh dua jurureka tari profesional, Ray Redzuan Awang (Ray) dan Mohd. Zulfarqar Awaluddin (Belalang) yang turut memikul tanggungjawab sebagai Kapten Jurureka Tari.

Lima pasangan diletakkan dibawah pengawasan Ray iaitu pasangan suami isteri, Mohd. Faizule Abdullah, 23, dan Tengku Puteri Norazilina Tengku Aman Shah, 22, Mohd. Hedzer Nadzar, 29, dan Siti Akmal Azlin Bakar, 22, pasangan adik beradik, Mohd. Hairul Izuan Dahalan, 25 bersama kakaknya, Siti Ummi Nur Faitul Zilla, 27, dan Sarah Diana Michele Durai, 32, dengan adiknya, Shazrul Hudson Ashley Durai, 18.

Pasangan lain yang turut berada di bawah pengawasan Ray adalah Bibi Nek Mohamad, 44, bersama anaknya, Azee Zailani, 21.

Manakala lima lagi pasangan di bawah pemantauan Belalang adalah Mohd. Razman Ghazali, 28, dan isteri, Helta Surya

Putri Pertama Herman, 24, serta pasangan suami isteri Wan Mohd. Faidz Wan Husain, 24, dan Noor Asmah Zainal, 31.

Sementara itu, pasangan adik beradik yang ditempatkan dalam kumpulan Belalang adalah Norny Yusnita Jening, 22, dan adiknya, Umar Ali

Jening, 20, bersama Mohammat Arziwan Amat, 25, dan Azirah Nabinah Amat, 18.

Pasangan anak beranak dalam kumpulan Belalang adalah Ahmad Tamizi Nordin, 45, bersama anak gadisnya, Amanina Maisarah, 18.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pasangan tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan bagi memudahkan Kapten Jurureka Tari dan jurureka tari masing-masing membimbing para peserta.

“Setiap pasangan diberi jurureka tari masing-masing bagi melatih mereka untuk menghadapi cabaran persembahan mingguan mengikut tema.

“Persembahan setiap pasangan akan diadili dengan sistem pemarkahan 50 peratus daripada juri dan 50 peratus lagi berdasarkan undian penonton,” katanya.

Selain itu, kata Azlin, setiap minggu tiga orang juri profesional, Joseph Gonzalez, Harith Iskander dan Vanidah Imran akan memberikan markah persembahan berdasarkan mutu dan teknikaliti persembahan.

“Untuk musim ini, di akhir program akan ada peserta yang tersingkir, iaitu pada Sabtu dan Ahad. Peserta terbaik dari kumpulan Ray dan Belalang bakal bersaing di peringkat akhir.

“Kita tidak tahu berapa pasangan yang layak ke peringkat akhir. Kami terpaksa buat begini kerana mengejar waktu agar ia selesai sebelum Ramadan,” katanya tentang program yang dihoskan oleh Awal Ashaari dan Lisa Surihani.

Dalam pada itu, Ray dan Belalang berkata, mereka tetap mengambil kira sensitiviti penonton dan akan mengelak daripada menampilkan gerak tari erotik.

Kata Ray, jika ada gerak tari yang tampak erotik terutamanya dalam tarian salsa, beliau akan menasihatkan juru tarinya melakukan gerak tari lain.

“Budaya kita tidak sama dengan orang Mexico yang menari salsa penuh perasaan. Walaupun pasangan yang sertai muhrim tapi kami tetap mengelak daripada geri tari yang boleh mencetuskan kontroversi, terutamanya untuk pasangan ibu dan anak lelaki atau bapa dengan anak gadis.

“Segala gerak tari dicipta sesuai dengan budaya kita. Apa yang penting adalah keserasian mereka ketika menari,” katanya.

 

Facebook Comments

Comments are closed.

Close