Penulis Blog Jangan Salah Gunakan Kebebasan Bersuara

Hey blogger! ya, saya bercakap dengan kamulah…
Kamu yang mengaku sebagai blogger tu… Hahaha

Ni nak kasitau yang Menteri Dr.Rais Yatim dah kasi warning supaya kita penulis blog jangan salah gunakan medium blog untuk meluah sebarang pendapat.

Penulis blog ni ditarafkan sebagai seorang penulis akhbar juga dan jika didapati melanggar mana-mana akta, boleh dikenakan tindakan makhamah juga.

Senang cakap korang baca sendiri la berita kat bawah ni. Belalang ambil dari akhbar Utusan.

———————————————————————-

Para penulis blog tidak seharusnya berselindung di sebalik hak asasi menyuarakan pendapat untuk meluahkan apa sahaja perkara demi kepentingan peribadi atau pihak tertentu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kebebasan yang dimiliki tetap mempunyai had berdasarkan ikatan kepada agama, budaya serta perundangan sesebuah negara.

“Mereka perlu melengkapkan diri dengan kekuatan dalaman bagi memilih apa yang terbaik untuk dilakukan demi rakyat sesebuah negara.

“Apa bezanya blogger dengan penulis akhbar, majalah atau wartawan penyiaran? Jika mereka menipu atau menyiarkan bahan-bahan lucah, budaya kita akan hancur dan mereka tidak lepas daripada sebarang tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Penulis Blog dan Media Sosial Sedunia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Kira-kira 400 penulis blog dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), England, Australia dan Jepun menyertai persidangan selama dua hari itu.

Rais menambah, beliau menganggap penulis blog sebagai ‘suara baru’ dalam dunia tanpa sempadan yang memainkan peranan besar memberi sumbangan terhadap masyarakat global.

“Disebabkan itu anda perlu menggunakan suara ini demi kebaikan negara serta menjadi pemangkin kepada perpaduan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sehingga April lalu pengguna Internet di Malaysia berjumlah 17.5 juta orang.

“Sehingga 8 Jun lalu, jumlah langganan jalur lebar mencecah angka 4,980,740 akaun. Langganan jalur lebar isi rumah 3,876,990 akaun sementara jalur lebar tanpa wayar 2,985,310 akaun.

“Bagi liputan 3G pula, terdapat 9.7 juta langganan pada suku pertama 2011,” katanya.

 

Facebook Comments

Comments are closed.

Close