Pengusaha Beras Mati Ditembak

Di Butterworth seorang usahawan beras terkenal di sini maut selepas ditembak ketika sedang membuka pagar rumahnya di Taman Puyu di sini kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Zulkifli Alias berkata kejadian itu berlaku ketika usahawan itu, Ooi Chong Tian,58, yang baru pulang selepas minum bersama beberapa rakannya, sedang membuka pagar rumah untuk memasukkan keretanya.

Katanya difahamkan sebuah kereta dipercayai jenis Proton Wira warna hitam dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang mengekori Ooi sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa.

“Satu daripada tembakan mengenai kepala dan satu lagi mengenai leher dan kereta berkenaan memecut laju sebaik melihat mangsa rebah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata anak mangsa yang mendengar bunyi tembakan keluar untuk melihat dan mendapati bapanya dalam keadaan parah lalu menghantarnya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Bagaimanapun mangsa mati ketika sedang menerima rawatan di HSJ,” katanya.
Zulkifli berkata pihaknya sedang menyiasat motif dan identiti suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan dan menurutnya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close