Kanak-kanak Dua Tahun Lemas Dalam Besen

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui mati, dipercayai lemas dalam besen berisi air, di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Paya Terubong, dekat sini, petang tadi.

Stella Chew Xing Rou ditemui seorang penjaganya dalam keadaan tidak bergerak dalam besen di dalam tandas rumah teres dua tingkat yang menempatkan pusat jagaan itu pada kira-kira 1 petang tadi.Penjaga pusat berkenaan kemudiannya menghantar mangsa ke sebuah klinik swasta berhampiran sebelum mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 1.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Abdul Halim Bulat, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata semasa kejadian, semua kanak-kanak di pusat berkenaan sedang berkumpul untuk menonton televisyen selepas makan tengah hari.

“Selepas semua budak-budak berkumpul di hadapan televisyen, penjaga tersebut baru sedar bahawa mangsa tidak berada dalam kumpulan itu dan mula mencari mangsa,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan ibu mangsa, Heng Bee Thin, bersama ahli keluarga mangsa sudah membuat laporan polis terhadap pusat jagaan berkenaan pada kira-kira 3 petang tadi.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat esok dan polis masih menunggu laporan bedah siasat.

“Polis masih belum mengklasifikasi kejadian itu sementara menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di situ yang enggan dikenali berkata, pusat berkenaan beroperasi sejak 10 tahun lalu.

– BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close