Isteri Dipukul Dengan Lesung Batu

Seorang wanita cedera di paha, dagu dan kepala akibat dipukul suaminya dengan anak lesung setelah dia enggan makan tengah hari bersama di rumah mereka di Perkampungan Cenderawasih di sini semalam.

Suri rumah berusia 25 tahun sebelum itu dikatakan bertengkar dengan suaminya berkaitan masalah rumah tangga mereka kira-kira pukul 1.30 petang.

Bagaimanapun, suaminya yang berusia 28 tahun kemudian mengajak isterinya makan tengah hari bersama, namun pelawaan itu ditolak menyebabkan lelaki terbabit naik berang.

Pasangan itu yang belum dikurniakan anak bertengkar sekali lagi dan ketika itulah suaminya menggunakan anak lesung untuk mencederakan mangsa.

Berikutan kejadian itu, wanita itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan di sini untuk menerima rawatan pesakit luar.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan dan Perundangan) negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, susulan daripada kejadian itu, polis menahan suami mangsa di rumahnya tidak lama selepas kejadian.

“Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

 

Facebook Comments
Close