Google Alat Untuk Burukkan China

Google sudah menjadi ‘alat politik’ untuk memburuk-burukkan kerajaan China, dakwa sebuah akhbar rasmi Beijing yang memberi amaran kenyataan gergasi Internet Amerika Syarikat (AS) itu mengenai serangan penggodam dari China boleh merosakkan perniagaannya.

Amaran keras itu disiarkan dalam edisi luar negara People’s Daily, akhbar utama Parti Komunis China, menunjukkan ketegangan politik antara AS dengan China berhubung keselamatan Internet boleh berpanjangan.

Google minggu lepas berkata, ia telah mematahkan usaha untuk mencuri kata laluan milik beratus-ratus pemegang akaun e-mel Google, termasuk pegawai kerajaan AS, aktivis hak asasi manusia China dan wartawan, dan serangan dipercayai dilancarkan dari China.

Kementerian Luar China menolak tuduhan itu dan akhbar People’s Daily memberi amaran kepada Google supaya jangan terlibat dengan permainan politik.

Dengan mendakwa aktivis hak asasi manusia China adalah antara sasaran serangan penggodam, Google ‘sengaja memenuhi tanggapan negatif Barat terhadap China dan membayangkan serangan itu adalah kerja kerajaan China’, menurut akhbar tersebut dalam komentarnya.

Komentar itu menggesa Google supaya jangan terlalu terlibat dengan pertarungan politik antarabangsa dan jangan diperalatkan untuk tujuan politik.

Google menghentikan sebahagian operasinya di China selepas mengadu mengenai serangan penggodam dan sekatan daripada kerajaan China, sehingga mendorong pentadbiran Presiden Barack Obama membangkitkan isu itu dengan Beijing.

Sejak itu, Google kehilangan bahagian pasaran kepada pesaingnya, Baidu Inc dalam pasaran Internet China, pasaran terbesar di dunia dengan lebih 450 juta pengguna.

Menurut Google, serangan terbaru dipercayai dilancarkan dari Jinan, ibu kota wilayah Shandong, timur China, pangkalan bagi unit perisikan Tentera Pembebasan Rakyat.

Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates kelmarin memberi amaran, Washington bersedia menggunakan kekerasan bagi menangkis serangan siber yang dianggapnya sebagai tindakan perang.

– Reuters

 

Facebook Comments
Close