Gaji Rendah Punca Pemain Piala Presiden Rasuah?

Gaji bulanan yang rendah tanpa sebarang imbuhan tambahan dipercayai menjadi punca utama pemain-pemain skuad bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan dan T-Team menerima suapan untuk menampung kos sara hidup mereka.

Setiap pemain skuad itu dikatakan hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,000, dan dengan jadual latihan yang padat, mereka tidak berpeluang melakukan kerja sampingan.

Menurut sumber, tidak hairanlah, nilai suapan yang ditawarkan sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap perlawanan dianggap cukup lumayan untuk menampung kos sara hidup pemain-pemain skuad itu.

“Pemain-pemain tersebut rata-ratanya masih muda iaitu berusia lingkungan awal 20-an. Jadi, mereka mudah terpengaruh dengan gaya hidup zaman sekarang.

“Mereka dikatakan terpaksa menerima imbuhan itu kerana perlu menjaga penampilan mereka selain untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas 21 tuduhan memberi rasuah sebanyak RM24,900 kepada pemain skuad berkenaan bertujuan mengatur keputusan satu perlawanan merebut piala tersebut pada April lalu.

Ini merupakan kes pertama jurulatih bola sepak di negara ini didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Selain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, turut disiasat ketika ini adalah skuad Piala Presiden dari Terengganu, T-Team.

Pemberian imbuhan atau elaun kebiasaannya disumbangkan oleh kerajaan negeri dalam bentuk rumah, tanah atau wang tunai untuk skuad bola sepak Liga Super. Bagaimanapun, ia tidak melibatkan skuad bola sepak Piala Presiden.

Sumber itu berkata, kelemahan-kelemahan itu pula telah dijadikan satu peluang bagi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk ‘membeli’ perlawanan mereka.

Sehubungan itu, pihak terbabit dicadangkan untuk mengkaji semula dasar pemberian gaji yang diperuntukkan bagi setiap pemain termasuk skuad pelapis dalam Piala Presiden mereka bagi mengelak kejadian serupa berlaku pada masa akan datang.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi hari ini berkata, jumlah gaji dan sebarang pemberian elaun atau imbuhan ditetapkan oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing.

“FAM tidak campur tangan, keputusan jumlah gaji, elaun atau imbuhan ditetapkan sendiri persatuan masing-masing.

“Tiada sebarang garis panduan ditetapkan untuk persatuan negeri masing-masing bagi menentukan jumlah gaji yang diberi kepada pemain mereka,” katanya.

 

Facebook Comments
Close