Dicekup Bersama Pasangan Bukan Islam

Tindakan dua wanita menyorokkan diri dalam bilik air dan belakang pintu mengelak daripada dicekup pegawai penguat kuasa agama, gagal apabila ditahan selepas disyaki berkhalwat di dua hotel berasingan di sini petang kelmarin.

Kedua-dua wanita berusia 20-an dan 30-an itu antara tiga yang ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan.

Khairul Azman berkata, pemeriksaan di sebuah bilik hotel di Jalan Tanjung Tokong kira-kira jam 3 petang menemui seorang lelaki bukan Islam.

Katanya, lelaki itu memberitahu dia bersama seorang rakan dan pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita Islam berkemban dengan tuala di dalam bilik air dan cuba menyorok.

Menurutnya, wanita itu memberi alasan menumpang mandi di bilik berkenaan selepas mandi di pantai di belakang hotel terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pasangan itu bukan mahram yang sah dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk dibuat laporan tangkapan,” katanya.

Khairul Azman berkata, dalam pemeriksaan kedua kira-kira jam 4 petang, seorang lagi wanita beragama Islam dicekup bersama lelaki bukan Islam di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan wanita berusia 20-an itu bersembunyi di belakang pintu bilik dan memberi alasan dia ada bersama dua rakannya di situ namun ketika itu rakan perempuannya sudah keluar.

“Begitupun, kami menemui dia bersama seorang lelaki bukan Islam di dalam bilik dan mereka berpakaian lengkap.

“Kedua-duanya ditahan, diambil keterangan sebelum dibebaskan. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Facebook Comments
Close