Bayi Dicampak Dari Pangsapuri

Seorang wanita terkejut apabila kenderaan dipandunya nyaris melanggar mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai dicampak dari tingkat tinggi Pangsapuri Sentul Utara di sini, tengah malam tadi.

Wanita berusia lingkungan 40-an itu sedang mencari tempat letak kereta terkejut apabila ternampak satu bungkusan plastik merah yang pada mulanya disangkakan anak patung.

Namun, apabila diperiksa, bungkusan plastik itu berisi mayat seorang bayi lelaki yang baru lahir dengan kepalanya telah pecah.

Terkejut dengan penemuan itu, wanita berkenaan segera memaklumkan kejadian tersebut kepada jirannya yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan memberitahu, dalam kejadian pukul 12 tengah malam, pihak polis yang menerima maklumat mengenai penemuan itu bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik sahaja tiba, polis melakukan pemeriksaan menyeluruh dan turut menemui uri bayi itu di dalam bungkusan plastik tersebut.

“Polis percaya, individu yang mencampak bayi tersebut mahu membuang bayi itu dari tingkat tinggi pangsapuri terus ke dalam sebuah tong sampah.

“Ini kerana tempat pembuangan sampah pangsapuri itu hanya terletak kira-kira tiga meter dari tempat bayi malang itu ditemui,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysiahari ini.

Pangsapuri itu mempunyai beberapa buah blok dengan ketinggian 16 tingkat.

Polis, menurut beliau, sedang mengesan pelaku jenayah kejam itu namun ketika ini, belum ada tangkapan dilakukan.

Beliau berkata, siasatan turut menjurus kepada sama ada bayi itu telah mati sebelum dicampak atau meninggal dunia akibat kecederaan selepas dibuang dari tingkat tinggi.

Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang saksi, Amirun Sharubaini, 23, berkata, dia dimaklumkan oleh jiran mengenai kejadian itu dan ternampak mayat bayi tersebut di kawasan lapang kediaman berkenaan.

Katanya, ketika menghampiri mayat itu, dia nampak bayi berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan pecah di tempurung kepala.

“Keadaan mayat bayi itu amat menyedihkan. Saya dimaklumkan yang bayi itu baru dilahirkan,” katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di Shah Alam, Selangor hari ini.

Amirun yang tinggal di pangsapuri itu sejak 1996 berkata, pihak polis tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian untuk memeriksa mayat bayi berkenaan.

 

Facebook Comments

Comments are closed.

Close