25 Tahun Tak Pernah MC? Hebat!

Seorang kakitangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang beribu pejabat di sini dikatakan tidak pernah mengambil cuti sakit sejak 25 tahun berkhidmat.

Mohd. Fakri Mohamad Noor, 48, yang kini menjawat jawatan Ketua Komunikasi Korporat LKTN berkata, biarpun sakit, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu mengambil cuti sakit biarpun ditawarkan oleh doktor.

“Ramai kakitangan kerajaan atau swasta yang terlalu memburu cuti sakit bahkan dalam setahun banyak yang mengambil cuti sakit sehingga menyebabkan mereka dipandang negatif oleh rakan sekerja.

“Mungkin sebab itu saya seboleh-bolehnya tidak mahu tergolong seperti ini. Hakikatnya saya manusia biasa yang tidak dapat lari dari sakit dan caranya ialah saya mengambil cuti kecemasan biarpun ditawarkan cuti sakit oleh doktor,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Kakitangan LKTN 2011 di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau menerima sijil penghargaan kerana merupakan satu-satunya pegawai LKTN yang tidak pernah mengambil cuti sakit selama 25 tahun berkhidmat.

– Bernama

 

Facebook Comments

Comments are closed.

Close