Tertembak Kaki sendiri

Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim cedera di buku lali kaki kanan selepas tertembak kakinya sendiri dalam kejadian pukul 8 pagi ini.

Lans Koperal Azwan Anas, 33, berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau bersama seorang rakan dalam perjalanan membuat rondaan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.

Katanya, apabila di hadapan Pejabat Pos Bukit Mertajam, kereta peronda yang mereka naiki tiba-tiba rosak dan beliau keluar dari kenderaan untuk memeriksa.

“Sebaik kereta boleh dihidupkan semula, saya masuk ke dalam dan ketika membetulkan kedudukan, pistol yang berada di pinggang tertembak kaki,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini hari ini.

Kata Azwan, beliau tidak menyedari tembakan itu mengenai kakinya dan menyangka terkena lantai kereta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT, ACP Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

– Bernama

Facebook Comments
Close