Terdesak Mencari Wang Untuk Majlis Kahwin, Lelaki Pura-pura Diculik

Seorang lelaki sanggup memperdayakan bakal tunangnya dengan mengatakan dirinya diculik selepas terdesak untuk menyediakan wang belanja bagi majlis pertunangan dan perkahwinan mereka.

Pemuda berusia 26 tahun itu berpura-pura diculik sebelum meminta bakal tunangnya, 25, yang bekerja di sebuah hospital swasta di Damansara membayar wang tebusan bernilai RM47,000 bersama sebuah kereta pada Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek pada mulanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan telefon bimbitnya kepada teman wanitanya itu untuk memaklumkan kejadian berkenaan kira-kira 6.30 petang.

“Suspek memberitahu wanita itu bahawa dia telah diculik, diikat dan matanya ditutup menggunakan pita pelekat serta tidak mengetahui lokasi dan kedudukan tempat dia disembunyikan.

“Tidak sampai tiga jam kemudian, suspek sekali lagi menghantar SMS dan meminta menyediakan wang tebusan berjumlah RM47,000 dan sebuah kereta milik wanita itu dan jika tidak berbuat demikian dia akan dicederakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan rel berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Tun Hisan berkata, bimbang dengan keselamatan suspek, wanita itu kemudiannya bertindak membuat laporan polis dan polis terus melancarkan gerakan bagi mengesan bakal tunang mangsa yang dikatakan diculik.

Beliau berkata, muslihat suspek bagaimanapun berakhir apabila dia berjaya ditahan sepasukan polis di Kuala Lumpur Sentral dekat Brickfields keesokan harinya kira-kira 10.15 malam.

“Hasil siasatan mendapati suspek sengaja mereka-reka cerita dengan mengatakan dirinya diculik kerana terdesak untuk menyediakan wang belanja sedangkan tarikh majlis itu semakin hampir,” katanya sambil menambah pasangan itu telah berkenalan sejak empat tahun lalu.

Katanya, polis turut merampas dua buah telefon bimbit daripada lelaki terbabit dan kad pengenalan miliknya untuk siasatan.

Beliau berkata, pihak polis tidak memandang ringan kes yang membabitkan penculikan dan akan bertindak segera sebaik menerima laporan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close