Taman Tropika Malaysia Menang Emas

Penjelmaan Taman Pelancongan Malaysia, yang memaparkan gambaran hutan hijau berliku dihiasi dengan senibina ‘Kelong’ indah, berjaya memenangi pingat emas di pertunjukan tahunan Royal Horticultural Society (RHS) Chelsea Flower Show 2011 di London, Rabu.

Ia merupakan kemenangan Tourism Malaysia yang kedua berturut-turut di pertunjukan itu, yang dianggap sebagai salah satu pertunjukkan terbesar dan berprestij di dunia, menurut Tourism Malaysia dalam satu kenyataan.

Hasil sentuhan pereka Malaysia James Wong, dan David Cubero, pasangan yang pernah memenangi beberapa anugerah sebelum ini, taman itu mengangkat sebuah taman moden berlatarkan kolam, dengan rekaan senibina tradisional Asia yang menampilkan penggunaan air dan tanaman subur sebagai sistem penyejukkan semulajadi.

Rekaan ‘Kelong’, yang merupakan kolam membela ikan secara tradisional yang biasa terdapat di Malaysia, dibina di atas kawasan seluas 200 meter padu persegi dengan dihiasi air terjun mini dan lebih 50 spesies tanaman serta bunga, yang memberikan pelawat kesan hutan hujan tropika.

Kehebatan dan keindahan suasana yang dibangunkan di pameran itu turut menarik minat Ratu Elizabeth II yang membuat lawatan ringkas ke taman itu selepas merasmikan acara tersebut, Isnin.

— Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close