Sukan Sasuke Di Hari Belia 2011 | Ada Berani?

Siapa di sini yang minat menonton rancangan Ninja Worrior yang ditayangkan di TV9 pada pukul 7:30 malam? Bestkan rancangan tu? Belalang salah seorang yang cukup minat menonton rancangan berbentuk sukan ekstrem  itu.

Selain daripada tertarik dengan plot permainan tersebut, Belalang turut meminati rancangan tersebut kerana kadang-kala ia  menghiburkan apabila melihat peserta terkial-kial cuba melepasi halangan atau terjatuh ke dalam kolam.

Kini permainan itu dibawa ke Malaysia pada hari Belia 2011 nanti. Permainan yang asal dari Jepun dengan nama sebenar Sasuke itu dijangka mampu menarik minat remaja yang gemarkan sesuatu yang ekstrem dan lasak.

Di bawah adalah sedikit penerangan permainan tersebut yang Belalang copy paste dari akhbar Utusan.

————————————————————————

Rancangan realiti sukan lasak Jepun, Sasuke akan menjadi tumpuan pengunjung sempena Himpunan Sejuta Belia 2011 Sabtu ini.

Pengarah Eksekutif Sasuke Malaysia, Zai Johari berkata, para pengunjung dijemput menyaksikan bagaimana 100 peserta tempatan mengharungi cabaran sukan ekstrem itu nanti.

“Sebelum ini, kita hanya menyaksikan bagaimana peserta-peserta di Jepun mengharungi pelbagai peringkat cabaran di dalam televisyen sahaja, kini ia ada di depan mata.

“Pengunjung boleh melihat struktur Sasuke itu tersergam di tengah-tengah Putrajaya di Persiaran Perdana,” katanya pada sidang akhbar program realiti Sasuke itu di Hotel Marriot, di sini semalam.

Turut hadir Juara Sasuke dari Jepun, Makoto Nagano.

Program realiti versi tempatan itu dianjurkan oleh Sasuke Malaysia Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Tokyo Broadcasting System dan Ami Promotion Inc Japan.

Sasuke adalah program realiti yang mendapat sambutan hangat di negara matahari terbit itu dan sudah pun ditayangkan selama 14 tahun di sana.

Zai berkata, program sukan lasak itu dapat menguji kekentalan dan memberi inspirasi kepada golongan belia negara ini untuk mencuba sukan ekstrem yang baru.

Menurutnya, secara tidak langsung ia memberi kesedaran dan mempromosikan gaya kehidupan yang sihat.

“Di samping mendapat hadiah menarik, Juara Sasuke Malaysia ini nanti akan mewakili negara ke Midoriyama untuk Sasuke Jepun pula,” katanya.

Sementara itu, Makoto berkata, dia percaya peserta-peserta tempatan akan dapat melakukan usaha yang terbaik untuk mengharungi cabaran itu nanti.

“Mereka perlu yakin dengan kemampuan diri dan melakukannya dengan bersunguh-sungguh untuk melepasi halangan Sasuke itu nanti.

“Apa-apa pun selamat berjaya saya ucapkan kepada semua peserta,” katanya.

————————————————————-

Apa macam? Ada Berani? Jom-jom kita uji ketahanan fizikal dan mental kita di permainan Sasuke Malaysia!

Facebook Comments
Close