Showdown 2011 | Dejavu Breakerz Bengang Komen Juri

KUMPULAN penari Dejavu Breakerz merupakan peserta yang ketiga tersingkir daripada pertandingan tarian Showdown 2011. Kumpulan berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu bukan sahaja kecewa dengan penyingkiran tersebut.

Malah, kumpulan yang dianggotai oleh enam penari remaja itu turut kecewa dengan kritikan pengkritik tetap terutamanya Maple Loo dan Joe Flizzow yang teruk menghentam gaya tarian mereka sebelum ini.

Salah seorang anggota Dejavu Breakerz, Dexston Alinton berkata, dia dan anggota kumpulannya berasa kecewa dengan kritikan dua pengkritik itu yang seolah-olah tidak menyedari perubahan persembahan mereka pada minggu ini.

“Mereka (pengkritik) komen dan suruh kami berubah. Kami sudahpun melakukannya dengan mengubah gaya koreografer kami pada minggu ini. Sayangnya, kami terus dihentam. Mereka kata persembahan kami masih tidak banyak berubah.

“Pada konsert minggu lepas misalnya, Joe Flizzow dan Maple Loo mengkritik kami dengan teruk sekali. Bagaimanapun kami tidak patah semangat dan terus cuba melakukan yang terbaik termasuklah persembahan malam ini. Tetapi mereka seakan-akan tidak nampak.

“Komen-komen seperti itu banyak mempengaruhi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton terhadap kami. Apa boleh buat setakat ini sahaja rezeki kami dalam Showdown. Kami tidak mahu putus asa dan akan terus menari selepas ini,” katanya.

Hadir sama pada sidang akhbar selepas penyingkiran Dejavu Breakerz ialah lima lagi anggota kumpulan tersebut iaitu Hanston Alinton, Mohd. Najib Yosong, Ibrin Anisto, Salimujid Salvadur dan Arnydin Tony yang turut kecewa dengan keputusan yang mereka terima itu.

Dejavu Breakerz merupakan peserta Showdown 2011 ketiga selepas kumpulan Soulution dan E.G.S. yang disingkirkan kerana menerima undian SMS paling rendah daripada para penonton selepas berakhirnya konsert mingguan tersebut.

Dengan penyingkiran itu, Showdown 2011 akan diteruskan oleh sembilan lagi kumpulan iaitu HMC Phlow, Rokusteps, Stepholic, Force 136, Panic, Blazin Squad, Elecoldxhot, Borneo Crew dan Bounce Stepperz pada konsert minggu keempatnya Rabu ini (25 Mei).

Pada minggu ketiga itu, dua pengkritik tetap Showdown 2011 dan juri undangannya, Joe Lee seakan-akan mempunyai peserta pilihan masing-masing di mana ia dapat dilihat berdasarkan kritikan yang diberikan sewaktu konsert itu berlangsung.

Joe Flizzow puji melangit kumpulan Elecoldxhot yang ketika itu menarikan tarian sambil diiringi oleh lagu nyanyian Jay Chou berjudul Tian Di Yi Dou, manakala Maple Loo pula begitu tertarik dengan persembahan Panic yang dianggotai semua wanita.

Facebook Comments
Close