Salih Yaakob Sanding Serentak Semua Isterinya?

Hasrat pelakon, pelawak dan penyampai radio SinarFM, Salih Yaacob, 50, untuk mengadakan majlis persandingan secara serentak bersama tiga isteri dan bakal isteri keempatnya nanti masih belum dibincangkan secara bersemuka.

Menurut isteri ketiga, Norfara Wahida Sulaiman, 32, setakat ini dia sendiri masih belum dimaklumkan tentang cadangan daripada suaminya itu.

“Memang saya belum diberitahu apa-apa pun tentang perkara itu dan besar kemungkinan, kami akan berbincang tentang perkara itu.

“Lagi pun, sekarang ini abang (panggilan untuk Salih) sendiri tengah sibuk dengan rakaman dan insya-Allah, kalau benar seperti yang dihajatinya, ia akan dilakukan secepat mungkin,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, apa yang diketahuinya ialah perkahwinan antara suaminya dengan Emi akan dipercepatkan kerana semua orang sudah mengetahui tentang hasrat Salih untuk berkahwin lagi.

Tambah Norfara Wahida, dia sendiri tidak membuat apa-apa persiapan untuk menyambut bakal madunya itu.

“Segalanya bergantung kepada pengantin lelaki sendiri (Salih Yaacob) sebagai ketua keluarga,” katanya.

Katanya, jika mengikut perancangan awal, perkahwinan Salih dan Emi dilakukan secara senyap-senyap dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja.

“Tidak tahu pula berita itu boleh tersebar luas dan pantas sebelum tiba masanya.

“Apa pun, biarlah kita menunggu permohonan berpoligami diluluskan oleh mahkamah syariah,” katanya yang lebih fokus untuk menjaga anak tunggalnya, Fara Aqeesya, 2, yang disahkan menghidap leukemia.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close