Pengumuman Langkah Rasional Subsidi

Kerajaan dijangka mengumumkan langkah rasional subsidi termasuk penyelarasan harga petroleum minggu ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan akan mencari alternatif untuk menyediakan kaedah paling sesuai bagi mengurangkan bebanan rakyat berikutan kenaikan itu selain akan mengkaji semula harga produk petroleum kini termasuk petrol jenis RON95.

Ismail Sabri berkata, kerajaan berpendapat wang yang digunakan untuk menanggung subsidi sepatutnya dibelanjakan untuk projek yang lebih memberi manfaat kepada rakyat seperti membasmi kemiskinan dan menyediakan perumahan kepada rakyat memerlukan.

“Usaha untuk meneliti dan mencari kaedah penyelesaian terbaik akan terus dilaksanakan kerajaan bagi mencari satu keputusan rasional terutamanya untuk tidak mendatangkan bebanan kepada rakyat berhubung kenaikan harga petroleum,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Koperasi Wilayah Persekutuan 2011 di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, KPDNKK merekodkan 586 koperasi aktif di seluruh Kuala Lumpur dengan RM9.4 bilion aset termasuk RM1.8 bilion pulangan yang dicatatkan sehingga kini.

Facebook Comments
Close