Penculikan Oleh Abu Sayyaf | Tuntut RM5.6j Dari Isteri Mangsa

Isteri ahli perniagaan Malaysia, Mohd. Nazarudin Saidin, 38, yang diculik di Pulau Jolo, Filipina mendedahkan kumpulan penculik berkenaan telah menuntut wang tebusan sebanyak 80 juta Peso (RM5.6 juta) sebagai syarat pembebasan suaminya.

Mazlina Mohamad, 38, memberitahu, jumlah wang tebusan itu dimaklumkan oleh kumpulan penculik kepada “orang tengah” yang juga salah seorang ejen broker cicak tokek di Malaysia.

Katanya, kumpulan itu pada Khamis lalu turut memberi syarat agar dia membayar sejumlah 5 juta Peso (RM348,317) sebagai “pendahuluan” bagi wang tebusan itu selewat-lewatnya lusa (Isnin ini).

Bagaimanapun, ujarnya, syarat pembayaran mesti melalui orang paling rapat dan dipercayai iaitu salah seorang broker cicak tokek terbabit.

“Apa yang membimbangkan ialah ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan komplot penculikan ini.

“Saya pula tidak pernah berpeluang untuk mendengar sendiri suara suami kerana kumpulan penculik itu menghubungi terus salah seorang ejen berkenaan.

“Sebelum ini saya dimaklumkan oleh ejen broker cicak tokek itu supaya jangan laporkan kepada polis tentang perkara itu dan menyerahkan kepada mereka untuk mengumpul dana sebelum membayar wang tebusan itu sendiri kepada penculik berkenaan,” katanya.

Ibu kepada enam anak itu berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merbau Sempah, Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Mazlina yang menampung kehidupan dengan menjual kuih tidak menyangka kejadian seperti itu menimpa keluarganya.

Menurut Mazlina, suaminya telah berlepas ke Pulau Jolo pada 27 April lalu bersama seorang lelaki warga Filipina yang juga merupakan salah seorang ejen cicak tokek dan pemergian ke negara itu difahamkan atas urusan perniagaan berkaitan reptilia tersebut.

“Dia (suami) kali terakhir menghubungi anak saya untuk bertanya khabar pada 6 Mei lalu. Saya hanya mengetahui suami saya diculik selepas menonton berita di televisyen pada 10 Mei lalu.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan Nazarudin kini ditahan oleh kumpulan Abu Sayyaf.

Pegawai dari Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Mindanao, Mohammad Azhar Mazlan memberitahu, Polis Kebangsaan Filipina (PNP) mengesahkan Nazarudin kini dalam tahanan kumpulan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close