Pemburu Tertembak Rakan

Polis menahan seorang pemburu selepas dia disyaki tertembak rakannya sendiri semasa sedang berburu babi hutan di sebuah kebun kelapa sawit di Parit Yono, Air Hitam, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan reman untuk tujuh hari selepas mengubah pengakuan mengenai kematian rakannya yang berusia 44 tahun.

“Mungkin kerana terlalu takut, dia mulanya tidak mengaku yang telah tertembak rakannya sebaliknya memberitahu rakannya itu tertembak diri sendiri.

“Bagaimanapun, selepas soal siasat, dia mengaku ada melepaskan tembakan terhadap kelibat seekor babi hutan sebelum mendengar suara rakannya meminta tolong kerana kesakitan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, mangsa, Tan Soo Meng yang juga seorang pekebun mengalami kesan tembakan pada bahagian mata kirinya namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Menurut Mohamad Nasir, suspek dan mangsa yang berasal dari Pagoh adalah rakan memburu sejak 10 tahun lalu dan mereka turut mempunyai lesen memiliki senapang.

Katanya, berdasarkan keterangan suspek, mangsa mengajaknya untuk berburu pada pukul 12 tengah hari semalam namun dia meminta mangsa pergi dahulu kerana ingin menghadiri dua majlis kenduri kahwin.

“Suspek masuk ke hutan pada pukul 4 petang membawa senapang patahnya dan jarak antara tempat dia melepaskan tembakan dengan kedudukan mangsa adalah kira-kira 150 meter.

“Berkemungkinan keadaan kawasan itu yang semak menyebabkan suspek tidak dapat melihat mangsa,” katanya yang memberitahu pihak polis turut merampas kedua-dua senapang milik suspek dan mangsa.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan sehingga kini, pihak polis tidak menemui sebarang bukti yang suspek melepaskan tembakan dengan niat mencederakan rakannya.

“Saya ingin menasihatkan bagi sesiapa yang memiliki senjata yang dilesenkan agar jangan melepaskan tembakan sewenang-wenangnya dan memastikan keadaan benar-benar selamat untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya lagi.

Facebook Comments
Close