Pembikinan Adnan Sempit 2

FILEM Adnan Sempit ternyata telah mencatat kejayaan tersendiri apabila menjadi filem tempatan pertama yang memperoleh kutipan melebihi RM7 juta pada tahun lalu. Tidak dinafikan bahawa melalui filem berkenaan juga sebenarnya telah melonjakkan nama Shaheizy Sam sehingga dinobatkan sebagai pelakon paling popular.

Memandangkan filem yang menceritakan tentang mat rempit itu mendapat sambutan hangat, maka pihak Metrowealth Pictures mengambil inisiatif menerbitkan sekuelnya.

Jika Ahmad Idham menjadi pengarah untuk filem pertama, kini tanggungjawab untuk mengarah Adnan Sempit 2 telah diberikan kepada Ismail Bob Hashim.

Menurut Bob, filem tersebut adalah kesinambungan kepada filem pertama dan langsung tidak berkaitan dengan drama Adnan Sempit yang disiarkan di saluran Astro sebelum ini.

“Apa yang boleh saya katakan untuk filem ini, jalan ceritanya lebih menarik apabila Adnan akan dibentuk menjadi seorang ahli korporat dan perlu mempelajari bahasa Inggeris,” ujarnya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem tersebut baru-baru ini.

“Bagaimanapun, dia masih lagi kekal sebagai seorang mat rempit, manakala Nadia pula akan dilatih oleh ibunya untuk menjadi suri rumah tangga untuk tempoh yang sama,” ujarnya yang menjadi penolong pengarah untuk filem pertama.

Tambah Bob, untuk sambungan Adnan Sempit ini, dia masih lagi mengekalkan kesemua pelakon-pelakon asal seperti Sam dan Intan Ladyana kecuali Cat Farish dan Julia Hana.

Jelasnya, mengikut perancangan asal filem ini akan mula dihasilkan pada awal tahun, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana mahu memilih skrip dan jalan cerita yang sesuai.

“Untuk skrip sahaja, ia telah dirombak sebanyak enam kali oleh saya dan panel skrip MIG sehinggalah kami tertarik untuk memaparkan jalan cerita yang membentuk Adnan menjadi ahli korporat,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cabaran yang akan dihadapi untuk filem tersebut, Bob menjelaskan salah satunya adalah sasaran untuk mengatasi kutipan filem sebelumnya.

Ujarnya, berdasarkan kepada rekod sebelum ini, boleh dikatakan jarang ada filem tempatan yang akan dapat mengatasi jumlah kutipan filem yang pertama.

“Namun saya yakin filem ini akan terus mendapat sambutan hangat. Saya yakin penonton tentunya akan terhibur untuk menontonnya,” ujar Bob.

Menurut Shaheizy Sam yang menjadi tunjang utama untuk filem Adnan Sempit 2, dia menyifatkan karakter Adnan yang dibawanya itu ternyata lebih menarik.

Jelasnya, dengan membawakan watak sebagai seorang mat rempit yang akan menjalani transformasi untuk bergelar ahli korporat tentunya akan menampilkan suatu kelainan.

“Menerusi sambungan filem ini, saya masih lagi kekal dengan Adnan yang sama, namun saya diberi tempoh 30 hari untuk menjadi ahli korporat sebagai syarat sebelum mengahwini Nadia.

“Sebenarnya, saya sendiri turut tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan untuk filem ini dan tiada masalah besar buat diri saya untuk membawakan watak yang diberi,” ujarnya.

Sementara itu, apabila ditanya adakah dia yakin filem kedua ini akan dapat mengatasi kutipan filem yang pertama, secara jujur pelakon berkenaan menjelaskan dia tidak pernah memikirkan mengenai soal kutipan.

“Apa yang lebih penting sekarang ini adalah memberikan yang terbaik untuk setiap filem atau drama lakonan saya dan berharap kehadiran saya dalam industri ini akan terus diterima peminat,” ujarnya.

 

Facebook Comments
Close