Pelakon Era-70 Didakwa Cabul Pelajar

Seorang pelakon era 70-an yang membintangi drama “Langit tidak selalu cerah”, Mokhtaruddin Mohd Saad, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang terhadap pertuduhan mencabul seorang pelajar.
Mokhtaruddin, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Najib Ismail.

Tertuduh yang juga pengasas kepada pertubuhan Raudah iaitu sebuah badan kebajikan, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pelajar perempuan berusia 13 tahun, di Asrama Raudah di No 336, Batu 11, Gombak pada 2.30 petang, 1 Mei lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan. Pendakwaan yang dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Hamzah mencadangkan Mokhtaruddin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kemudian menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan lantik peguam.

Anak lelakinya, Datuk Mohd Bismi Adira selaku penjamin membayar jaminan itu.

– BERNAMA

Facebook Comments
Close