Maharaja Lawak Minggu Ke-7 | Sistem Undian Baru

MESKIPUN Man, Balas dan Amir berada di tangga terendah minggu keenam Maharaja Lawak, Jumaat lalu, mereka masih lagi terselamat.

Lega rasanya apabila pengacara AC Mizal membuat pengumuman tiada penyingkiran berlaku pada minggu lalu.
Namun semua peserta yang kekal termasuk Sepah, Jambu, Nabil dan Jozan bakal berdepan dengan satu mekanisme baru diperkenalkan minggu ini.

Itulah antara kejutan yang cuba disuntik menerusi program realiti TV yang ke udara di Saluran Warna dalam pakej Mustika Astro.

Bayangkan, setiap peserta berpeluang untuk mengundi keluar dan memilih pihak lawan untuk disingkirkan.

Peserta menerima undian terbanyak daripada lawan harus meninggalkan pentas walaupun bakat dan persembahannya hebat.

Namun adilnya apabila peserta disingkirkan melalui sistem undi keluar tidak boleh berada di tangga teratas carta undian dilakukan penonton serta juri tetapnya iaitu Saiful Apek, Ahmad Idham dan Mamat Khalid.

Namun ketika diminta mengulas mengenai sistem undian itu, Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani menyangkal sistem itu tidak adil sebaliknya akan membuat setiap peserta tidak terus selesa berada dalam zon masing-masing.

“Maharaja Lawak adalah kandungan kami sendiri dan memberikan pihak produksi kebebasan menyerapkan apa saja konsep serta hala tuju program ini.

“Memandangkan semua peserta adalah hebat-hebat, kami perkenalkan sistem baru ini agar peminat dapat melihat satu dimensi berbeza.

“Tidak lagi bergantung pada undian penonton dan sokongan pihak juri semata-mata, setiap peserta perlu bersedia untuk diundi keluar oleh pihak lawannya sendiri.

“Bagaimanapun kalau mereka memilih peserta yang berada pada kedudukan tertinggi dalam peratusan undiannya, sekali lagi tiada penyingkiran terjadi.

“Justeru saya sudah mengandaikan minggu ketujuh nanti lebih penuh debaran,” katanya.

Minggu keenam lalu memperlihatkan peningkatan positif dan kreativiti peserta yang melangkaui batas imaginasi penonton.

Bukan penonton saja tidak henti ketawa dengan jenaka yang dihidangkan, Ahmad Idham dan Apek pun kelihatan terhibur meskipun tanpa Mamat Khalid yang kini berada di Itali sempena Festival Filem Antarabangsa di sana.

Peserta yang paling menonjol dan menjadi pilihan utama barisan juri adalah Jambu yang mengangkat tema komedi bersahaja, tampil kurang pada dialog namun penuh imaginasi dalam membentuk gerak persembahan.

Menerima undian tertinggi sebaik talian undian ditutup dengan 59 peratus berbanding awalnya yang hanya menduduki tangga kedua, Taukeh dan Yus berjaya memancing perhatian penonton hingga mendapat sokongan paling kuat.

Mereka beraksi sebagai pemain ping pong dengan gaya yang bercampur aduk dengan permainan sukan lain.

Kumpulan Sepah pula sambil bermain gitar, mencuit penonton menerusi jenaka yang berkisar pada perkahwinan diraja, Putera William.

Minggu keenam juga masih menunjukkan kehebatan Nabil yang kekal menjadi pilihan penonton dengan penggunaan sistem tunjuk arah, GPS.

Mengejutkan apabila Abdul Rahman Kassim atau Man memberikan saingan kuat apabila muncul dengan komedi seakan mengajuk Chef Wan.

Mendapat peratusan undian kedua tertinggi dengan 57 peratus dengan meninggalkan Nabil dengan satu peratus serta Sepah dua mata di belakang, Jozan beraksi dengan kisah tukang urut dan pesakit.

Balas yang dianggotai dua anak muda dari Pulau Pinang, Fendi Muhammad (Fendi) dan Mohd Shukri Sahar (Shuk), tampil ringkas dengan aksi di wad hospital.
Amir cuba bertahan dengan jenaka yang gagal menarik perhatian.

Peserta berusia 23 tahun ini bagai tidak membuat persediaan cukup.

Melihat keseluruhan persembahan pada malam itu, gelanggang Maharaja Lawak terus memberikan satu bentuk hiburan terbaik buat penonton.

Facebook Comments
Close