Kemalangan Ngeri Di Pasir Mas | Kemalangan Enam Kenderaan, Empat Terkorban

Suasana di Kilometer 11, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, To’ Uban di sini gempar dengan tragedi ‘Maghrib berdarah’ apabila mayat bergelimpangan di atas jalan raya dalam nahas membabitkan enam kenderaan dan mengorbankan empat orang, termasuk dua sepupu, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam ketika azan Maghrib sedang dilaungkan itu, mayat tiga mangsa bergelimpangan di atas jalan raya manakala seorang lagi maut selepas tersepit dalam keretanya.

Kemalangan dikatakan berpunca daripada sebuah motosikal Honda Wave dinaiki dua beranak, Ariff Che Mohd Zain, 35, dan anaknya, Aliff Azhan, 12, yang ditunggang melawan arus bertembung dengan motosikal Yamaha RXZ ditunggang dua sepupu, Chik Shamsuddin Mat Ghapar, 16, dan Muhammad Faizal Fakruddin, 16.

Akibat perlanggaran itu, semua mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dua lori dari arah sama dikatakan tidak sempat mengelak lalu menggilis tiga daripada mereka iaitu Ariff, Chik Shamsuddin dan Muhammad Faizal menyebabkan mereka terbunuh serta-merta.

Aliff Azhan yang tercampak jauh dari jalan raya, terselamat, tetapi cedera parah. Pemandu kedua-dua lori itu pula memecut kenderaan mereka meninggalkan tempat kejadian dan sehingga malam tadi, masih belum membuat laporan polis mengenai kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kemalangan itu tidak berakhir di situ kerana tidak lama kemudian sebuah kereta Volvo dipandu Huzaiudi Zainal Abidin, 36, dari Tanah Merah ke Pasir Mas bertembung kereta Proton Iswara dari arah bertentangan ketika cuba mengelak daripada melanggar mangsa di tempat kejadian.

Pertembungan itu menyebabkan pemandu Iswara, Wee Thai Kit, 40, tersepit dalam keretanya dan mati di tempat kejadian.

“Kemalangan itu menyebabkan empat maut di tempat kejadian manakala dua lagi iaitu Aliff Azhan dan Huzaiudi cedera parah.

“Mayat semua mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis merayu saksi kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat mengenai kemalangan ini,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Mohd Hafizzul Akmal Mohd Yusof, 24, antara penduduk tempatan yang terawal tiba di tempat kejadian menyifatkan kemalangan yang dilihatnya itu paling ngeri.

“Kebetulan saya dalam perjalanan ke Kota Bharu menggunakan laluan itu. Berderau darah melihat tiga mayat bergelimpangan di atas jalan dengan seorang daripadanya melekat pada motosikal. Selepas itu saya melihat satu lagi mayat tersepit dalam kereta Proton Iswara.

“Sebelum ini, kerap juga saya melihat kemalangan tetapi kemalangan ini paling ngeri. Saya tidak mampu menunggu lama dan segera beredar kerana tidak tahan melihat keadaan mayat dan darah di merata tempat,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close