Kanak-kanak Perempuan Maut Terjatuh Kondominium

Seorang kanak-kanak perempuan warga Korea berusia 12 tahun ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh Kondominium Besta, Ampang, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mayat mangsa ditemui di lobi kondominium 15 tingkat tersebut oleh pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mangsa yang tinggal bersama ibu dan adik lelaki berusia 11 tahun sebelum itu dilihat bermain di kaki lima di hadapan rumahnya.

“Tanpa disedari kanak-kanak tersebut ditemui mati dalam keadaan parah di kawasan pokok hiasan di lobi kondominium berkenaan.

“Penemuan mayat tersebut kemudian telah dimaklum oleh pengawal keselamatan kepada pasukan peronda polis yang kebetulan melakukan pemeriksaan di kondominium tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, hasil siasatan polis dan pemeriksaan Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendapati mangsa mati akibat terjatuh dari tempat tinggi.

“Polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu setakat ini, namun jika ada, siasatan akan dilakukan,” ujarnya.

Berikutan itu jelasnya, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut.

– Utusan

Facebook Comments
Close