Hospital Ampang Lalai | Dikatakan Punca Bayi Kritikal

Seorang pengurus, K N Sellah Kumar Naidu, mendakwa kelalaian Hospital Ampang memberi rawatan awal kepada anak perempuannya, Kirthana Lakshmi yang berusia sebulan, menyebabkan bayi itu kini berada dalam keadaan kritikal.

Sellah, 28, berkata, anaknya yang dilahirkan pada 30 Mac lalu, dikesan mempunyai kesan lekuk pada bahagian kiri kepala sebelum timbul tanda kemerahan pada 22 April lalu.

Beliau berkata, selepas merujuk penyakit itu kepada doktor di hospital berkenaan pada hari sama, beliau hanya dimaklumkan anaknya itu tidak mempunyai sebarang masalah dan mampu sembuh secara sendiri.
Bagaimanapun, katanya, dua hari selepas itu, beliau mendapati bahagian kiri kepala bayi perempuannya menjadi keras dan kemerahan, lalu membawanya ke hospital sebelum diminta dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Selepas pemeriksaan, doktor memberitahu Kirthana tidak ada masalah dan hanya diminta mengukur saiz kepalanya setiap hari, malah doktor memberi kad rawatan supaya bayi perempuan saya menjalani pemeriksaan susulan pada 2 Mei lalu.

“Bagaimanapun, bahagian kepala kiri anak saya menjadi kemerahan, keras dan bisul pecah selepas tujuh jam dibawa pulang ke rumah pada hari terbabit,” katanya ketika ditemui Berita Harian, kelmarin.

Katanya, beliau meminta hospital memberi penjelasan mengapa rawatan diberi untuk menyelesaikan sakit pada bahagian kiri kepala anaknya boleh menyebabkan tapak kaki kanan bayi perempuannya bengkak.
“Selain itu, pihak hospital, doktor dan jururawat tidak memberi maklum balas apabila bertanya mengenai penyakit anak saya dan kesan rawatan itu, malah permintaan isteri untuk melihat bayi perempuan yang sakit juga tidak diendahkan.

“Sebaliknya, pegawai perubatan memberi alasan dengan mengatakan hanya beliau seorang menjaga keseluruhan wad dan tidak boleh memantau bayi saya saja,” katanya.

Sellah berkata, doktor turut membawa anak saya dari ICU ke wad lain untuk diberi rawatan tanpa pengetahuan dan sebarang makluman termasuk pegawai perubatan yang bertugas di wad ICU.

Susulan itu, beliau membuat aduan rasmi kepada pihak hospital pada hari berkenaan dan bercadang mahu memindahkan bayi perempuannya ke hospital lain dalam tempoh terdekat ini.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close