Hey Miss Chenta (HMC) | K-Pop Dari Malaysia

JIKA kebanyakan kumpulan muzik indie tempatan memilih genre muzik rock yang lebih keras dan kebaratan, Hey Miss Chenta (HMC) ternyata berbeza. Mereka bukan saja pernah dilabel sebagai kumpulan ‘jiwang’, malah peminat mereka pula pelajar sekolah yang rata-ratanya gadis muda.

Bila diselidik, barulah jelas bahawa genre lagu dibawa mereka tersasar daripada kebanyakan aliran muzik indie tempatan tapi dekat di hati peminat muda iaitu genre pop dengan elemen muzik Korea, lebih jelas dipanggil sebagai Alternatif K-Pop.

Diwakili lima anak muda — Awan Miswan (Mizam Miswan, 25, vokalis), L (Mohd Ali Fahmi Sahar, 23, gitar), Zash (Izat Shaharun, 22, dram), Peace (Hafizuddin Hamzah, 22, bass) dan Ramdan (Wan Mohamed Ramdan, 23, gitar) “Perkenalan kami bermula ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sekitar 2006. Sebelum itu kami mempunyai kumpulan masing-masing ketika mengikuti pengajian di UiTM Machang, Kelantan. Di Shah Alam, kami mengambil keputusan menubuhkan HMC disebabkan minat mendalam dalam bidang muzik.

“HMC memilih genre K-Pop kerana secara amnya ia mesra pendengar. Apatah lagi, genre ini jarang dibawa oleh mana-mana kumpulan indie sebelum ini.

“Oleh itu kami mengambil inisiatif untuk mencuba sesuatu yang baru ke arena muzik tanah air,” kata Awan Miswan yang meminati Hongki, vokalis band popular Korea, FT Island.

Single pertama mereka, Goodbye Baby yang menjadi lagu ‘cari makan’ membawa tuah apabila berjaya menambat hati juri ketika pertandingan Digi Live Tour Contest 2010 di Litar Antarabangsa Sepang, lantas melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Sejak mula diperkenalkan ke aliran muzik perdana, lagu itu pernah menduduki carta lagu dalam beberapa stesen radio tempatan dan luar negara. Kini HMC maju setapak lagi melalui dua single terbaru — Aura dan Mencintaimu sejak awal tahun ini.

“Demi merealisasikan impian, kami gunakan sebahagian besar wang kemenangan pertandingan itu dan simpanan kami untuk menghasilkan album mini yang bakal siap tidak lama lagi.

“Kami berharap peminat muzik tempatan dapat menerima kehadiran HMC bukan sekadar sebuah lagi band indie yang biasa, tapi sebagai memenuhi kemeriahan dan variasi baru ke dalam industri muzik tanah air,” kata Awan yang membelanjakan hampir RM15,000 untuk pembikinan album mini itu.

Album mini yang mengambil nama HMC sebagai judul mengandungi lima lagu ciptaan sendiri iaitu Aura, Mencintaimu, Goodbye Baby, Pintaku dan Ada Di Sana.

Impian HMC ingin menjadi legenda K-Pop Malaysia dan membawa muzik mereka ke pentas lebih besar. Biarpun bunyinya seolah-olah ‘berangan’, tetapi jika impian mereka turut diiringi doa dan usaha, pasti impian itu boleh menjadi kenyataan.

Ketika ditanya setakat manakah pencapaian dimaksudkan, tanpa berselindung HMC mahu lagu mereka dapat dipertandingkan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) satu hari nanti. Malah HMC turut menyimpan impian untuk berkolaborasi dengan artis Korea sebagai melengkapkan profil seni HMC.

Peminat muzik yang ingin mengenali lebih dekat kumpulan HMC boleh layari laman sosial mereka di www.facebook.com / heymisschentaband atau di laman Youtube dengan carian heymisschenta.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close