Harga Ron95, diesel Dan LPG Kekal

Harga petrol RON95, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG) kekal buat masa ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG buat masa ini setelah rasionalisasi subsidi dibincangkan dengan mendalam dan teliti dalam mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

“Keputusan ini dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di kementerian berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama kerajaan akan meneruskan kajian rasionalisasi subsidi secara menyeluruh berikutan peningkatan harga minyak dan gas di pasaran global.

Ditanya adakah Kabinet membincangkan tempoh masa harga berkenaan dikekalkan, Ismail berkata, Kabinet tidak membincangkan tentang jangkamasa.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close