Gambar Pernikahan Pelawak Yassin Dan Farawahida

DUA tahun lalu, mereka pernah bertemu pada sebuah majlis. Namun ketika itu, kedua-duanya sedikit pun tidak pernah menjangkakan mereka akhirnya akan menaiki pelamin bersama. Bak kata orang tua-tua, jodoh pertemuan memang hanya Tuhan yang mengetahuinya.

Walaupun pertemuan pertama tidak membibitkan bunga-bunga cinta, namun suratan takdir memang mengatakan kedua-duanya akan bersatu juga. Lalu, pada 15 Mei lalu, pelawak terkenal, Yassin Yahya sah bergelar suami kepada peminatnya sendiri, Farahwahida Maharidan, 32.Yassin ketika dihubungi memberitahu, dia dan isterinya disatukan setelah hubungan cinta mereka terjalin selama tujuh bulan saja. Dia sendiri enggan menunggu lama kerana berasakan keserasian jelas terjalin antara mereka berdua.

“Kami mengambil keputusan untuk berkahwin kerana keserasian yang dapat kami rasa, walaupun perkenalan kami baru mencecah usia tujuh bulan. Namun jodoh sudah menentukan kami bersama dan kami sendiri tidak mahu menangguh-nangguhkan perkara yang baik seperti sebuah perkahwinan.

“Majlis perkahwinan kami diadakan di Putrajaya pada 15 Mei lalu, secara kecil-kecilan saja. Ia tidak lebih kepada majlis untuk meraikan keluarga dan sahabat terdekat,” kata Yassin, 33.

Yassin juga memilih untuk terus melangsungkan pernikahan tanpa terlebih dulu melalui fasa pertunangan bersama pasangannya.

“Kami tidak memilih untuk bertunang kerana berasakan adalah lebih baik kami mendahulukan yang wajib. Bagi saya, bertunang itu hanyalah adat dan kami tidak memilih untuk menunggu terlalu lama bagi menunaikan perkara yang mulia,” katanya. Begitupun pelakon komedi yang pernah muncul dalam filem Otai, Biar Betul dan Bujang Senang ini tetap menyimpan impian mengadakan majlis meraikan perkahwinan mereka bersama rakan artis dan pihak media sekiranya rezeki menyebelahi dirinya dalam masa terdekat.

Bagi Farawahida pula, sebelum menjalinkan hubungan cinta bersama jejaka itu, dia terlebih dulu hanyalah bergelar seorang peminat kepada artis berkenaan. “Kali pertama saya bertemu Yassin ialah kira-kira dua tahun lalu ketika saya dan keluarga sedang makan di sebuah restoran. Ketika itu hujan lebat dan saya tidak menyangka dapat duduk bersebelahan dengannya.

“Waktu itu, dia antara artis lawak yang menjadi kesukaan saya. Bagaimanapun ketika itu kami tidak sempat pun bertegur sapa. Sehinggalah pada Oktober tahun lalu apabila kami sekali lagi dipertemukan dalam sebuah majlis meraikan seorang kawan saya.

“Kebetulan, dia pun berada di majlis yang sama. Jadi, ketika itu buat kali pertama kami bertegur mesra dan sejak itu, Facebook menjadi penghubung antara kami berdua. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk berkahwin setelah mendapat restu daripada kedua-dua keluarga,” katanya yang menyenangi pelawak itu kerana sifatnya yang bertanggungjawab.

Farawahida juga memilih Yassin sebagai suami kerana pemuda itu seorang yang penyabar dan menghormati dirinya sebagai seorang wanita.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close