Ditumbuk Senior | Pelajar Perempuan Lebam Muka

Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Pandan Mewah di sini, lebam muka selepas ditampar lebih 20 kali, ditumbuk dan ditendang tiga pelajar perempuan sekolah sama, minggu lalu.

Kung Way Lin, 13, berkata dia diserang di stesen minyak berhampiran sekolahnya kira-kira jam 1 tengah hari dan kejadian itu turut disaksikan puluhan pelajar sekolahnya dan orang awam.

Katanya, dia diserang akibat salah faham selepas mendakwa dia melaporkan kepada guru disiplin berhubung kes ponteng membabitkan tiga pelajar senior itu.

Mangsa mendakwa, sebelum kejadian itu dia dipanggil seorang rakan dari kelas peralihan dan memaklumkan sekumpulan pelajar senior mahu berjumpanya di kedai serbaneka 7-Eleven bersebelahan sekolah.

Sebaik tiba di sebuah stesen minyak berhampiran 7-Eleven, mangsa terus diserbu dan ditampar beberapa kali oleh seorang pelajar senior walaupun beliau cuba menjelaskan perkara sebenar.

“Saya menjelaskan berlaku salah faham, tetapi mereka tidak mengendahkannya, sebaliknya saya dikepung dan dibelasah sehingga tidak dapat melarikan diri.

“Mereka kemudian mengugut akan mencederakan saya sekiranya melaporkan kejadian itu kepada guru disiplin,” katanya. Berikutan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandah Indah di sini.

Facebook Comments
Close