Bayaran Bulanan Internet Tinggi

Kerajaan menyifatkan kadar bayaran bulanan Internet yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi masa kini masih membebankan masyarakat di peringkat akar umbi.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kadar bayaran bulanan sedemikian dilihat akan menyukarkan masyarakat di kawasan kampung, kampung baru atau estet menikmati kemudahan perkhidmatan internet yang dibina oleh kerajaan.

”Setakat ini, kadarnya antara RM38 hingga RM58 dikenakan kepada semua, tetapi mereka yang mempunyai anak lebih daripada lima orang dan berpendapatan RM700 atau RM1,000 sebulan, akan kurang mampu untuk mengeluarkan wang sebanyak itu setiap bulan.

”Saya masih belum puas hati dengan keadaan itu kerana program kita hanya setakat Kampung Tanpa Wayar tetapi bayaran yang dikenakan kepada penduduk kampung yang berpendapatan kecil belum lagi selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Mengenai Peluang-peluang untuk Industri Kecil dan Sederhana melalui ICT Jalur Lebar di sini hari ini.

Persidangan dua hari bermula hari ini itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan lebih 400 peserta yang mewakili industri kecil sederhana (IKS) teknologi dan syarikat telekomunikasi tempatan.

Sehubungan itu, Rais berkata, gesaan kerajaan adalah mesti ada skim untuk penduduk kampung, kampung baru dan estet yang membolehkan mereka menyertai program jalur lebar dengan harga yang paling berpatutan.

”Harus kita wujudkan satu program yang langganannya pada paras paling minimal dan dengan itu dapat kita ambil kira untuk sumbangan sebagai tanggungjawab sosial syarikat telekomunikasi kepada masyarakat.

”Tetapi kerajaan memahami dalam berniaga mesti ada untung tetapi mungkin syarikat telekomunikasi boleh mencari keuntungan melalui sektor perniagaan lain yang mereka ceburi,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, SKMM memperuntukkan RM62.2 juta bagi melaksanakan inisiatif Gaya Hidup Digital sepanjang tahun ini.

”Peruntukan sebanyak itu akan digunakan bagi membiayai projek perintis teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan aplikasi internet.

”Anggaran RM2 hingga RM5 juta akan dibelanjakan bagi setiap projek tersebut yang membabitkan 15 hingga 20 gaya hidup digital,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close