Anwar Ibrahim Akan Mengangkat Sumpah

Selepas sekian lama menunggu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya akan ‘mengangkat sumpah’ pada 6 Jun ini dengan bersaksikan beberapa orang peguam belanya termasuk Karpal Singh.

Bagaimanapun, sumpah yang bakal dibuat itu bukanlah sumpah laknat seperti yang dilakukan oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dan ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah sebaliknya ia adalah sumpah untuk memberi keterangan benar, tiada yang tidak benar melainkan benar belaka.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dijangka mengangkat sumpah tersebut di Mahkamah Tinggi di sini pada perbicaraan kes liwat membabitkan dirinya dan Mohd. Saiful Bukhari dari kandang saksi selaku saksi pembelaan yang pertama.

Barisan pembelaan pada ketika ini, telah menyenarai pendek antara 25 ke 30 orang yang bakal dipanggil memberi keterangan di peringkat bela diri itu.

Antara mereka yang disenaraikan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut disebut-sebut sebagai saksi ialah doktor dari Hospital Pusrawi ketika kejadian, Dr. Muhammad Osman Abdul Hamid yang merupakan doktor perubatan pertama ditemui oleh Mohd. Saiful Bukhari sebelum membuat laporan polis dan diperiksa olah pakar-pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008.

Doktor itu juga dikatakan individu yang bertanggungjawab menghasilkan laporan perubatan kontroversi yang menyebut mengenai kemasukan objek plastik ke dalam dubur mangsa.

Selain itu, pakar-pakar yang dilantik oleh Anwar sebelum ini dijangka memberi keterangan pada perbicaraan yang dijadualkan berlangsung selama sebulan.

Tiga orang pakar tersebut ialah pakar asid deoksiribonukleik (DNA), Dr. Brian McDonald dari Sydney, Australia dan dua pakar forensik, Dr. C. Damodaran dari Chennai, India serta Dr. David Wells dari Melbourne, Australia.

Peguam Karpal Singh ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding hari ini memberitahu, bakal-bakal saksi tersebut akan ditemu bual oleh pasukan pembelaan di sebuah bilik di Kompleks Mahkamah terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada mereka layak dipanggil sebagai saksi.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close