Tengkorak Kepala Bayi Pecah Dipercayai Didera

“Anak saya dipukul hingga tengkorak kepalanya pecah. Individu yang bertanggungjawab menderanya hingga mati bukan manusia dan lebih hina daripada binatang,” kata K Vijayakumar, 36.

Dia ditemui di rumahnya di Taman Indah Sakthi, Bercham, dekat sini, selepas mengadakan upacara sembahyang dan penghormatan terakhir untuk mendiang anak lelakinya, Seshagiry yang berusia sembilan bulan sebelum disemadikan di Buntong, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Bayi malang yang dilaporkan diculik, ditemui mati dibunuh kejam pada Sabtu lalu dengan mayatnya disumbat dalam beg sebelum dicampak seperti sampah di Kilometer 175.4 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran jalan susur masuk Plaza Tol Bandar Baharu, Kedah.

Vijayakumar berkata, selain kesan lebam di paha, tangan dan punggung, kecederaan paling teruk ialah di kepala dengan sebahagian tengkoraknya dipercayai pecah.

“Hanya Tuhan tahu kesedihan saya sebaik melihat mayat Seshagiry. Paling meremukkan hati saya ialah keadaan dahinya yang leper ke dalam seperti akibat dipukul dengan kuat.

“Namun punca kematiannya belum diketahui tapi berdasarkan permit pengebumian tercatat ‘kesan hentakan objek tumpul di kepala’ sebagai punca kematiannya,” katanya. M Kavitha, 36, adalah insan paling sedih apabila menangis sepanjang upacara pengkebumian berjalan mengenangkan pemergian anak lelakinya dalam keadaan cukup tragis.

Suasana di rumah mangsa turut pilu dengan tangisan ahli keluarga, rakan serta orang ramai yang bersimpati dengan kejadian menimpa bayi tidak berdosa itu.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan dan Pengerusi MIC Perak, Datuk S Veerasingam. Vijayakumar berkata, dia tidak dapat bayangkan kesengsaraan anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir berdasarkan kesan kecederaan pada mayatnya.

Katanya, kehadiran Mohd Shukri menunjukkan betapa serius kejadian itu dan dia yakin polis akan menyelesaikan kes berkenaan.

Bagi mengelak kejadian serupa berulang, dia menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada apabila menyerahkan anak kepada orang lain seperti yang berlaku kepadanya.

Sementara itu, Mohd Shukri mengesahkan seorang wanita ditahan untuk membantu siasatan selepas menyerah diri kepada polis di Kedah.

“Kes ini disiasat polis Kedah dan kami akan memberikan kerjasama jika diperlukan,” katanya.

Facebook Comments
Close