Penemuan Mayat Bayi Di Stesen LRT

Penemuan mayat bayi perempuan berusia lima bulan yang ditinggalkan di kawasan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Cempaka, di sini, menggemparkan pengguna perkhidmatan berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mayat bayi dibalut surat khabar ditemui ditinggalkan di tingkat bawah stesen LRT berkenaan.

Orang ramai yang terkejut dengan penemuan berkenaan memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum beberapa anggota bergegas ke tempat kejadian.

Menurut sumber, polis percaya bayi itu dilahirkan tidak cukup bulan di lokasi lain sebelum individu terbabit meninggalkan mayat itu di kawasan berkenaan.

“Polis yang tiba di tempat kejadian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun mendapati CCTV itu gagal merakamkan individu terbabit.

“Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Ampang (HA) untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

-Metro

Facebook Comments

Comments are closed.

Close