Madu Syak Anak Mati Didera Isteri Pertama

Isteri kedua seorang peniaga membuat laporan polis selepas mendakwa anak lelakinya mati dipercayai didera oleh isteri pertama suaminya.

Wanita berumur 22 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini malam tadi dan mendakwa anaknya didera di rumah madunya itu di sini.

Menurutnya, anaknya yang berumur 18 bulan itu meninggal dunia di sebuah hospital swasta selepas dikatakan terjatuh dari katil dua tingkat pada 11 pagi semalam tetapi dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan hanya lima jam kemudian.

“Saya terkejut apabila dihubungi keluarga suami memberitahu bahawa anak saya meninggal dunia kerana sesak nafas selepas terjatuh katil,” katanya anaknya itu dibawa tinggal bersama keluarga suaminya kerana mereka tidak mempunyai anak lelaki.

Dia yang mengesyaki sesuatu apabila melihat keadaan mayat anaknya mempunyai kesan kecederaan.

“Ketika menguruskan mayat, saya dapati ada kesan kecederaan di badannya seperti kesan didera. Saya syak ada sesuatu tidak kena,” katanya kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya enam bulan lalu dan mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan sihat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali berkata, pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat sebelum mengambil tindakan lanjut.

– Bernama

Facebook Comments
Close