Jam Omega: Anwar Marah Wartawan 8TV

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini berang ketika ditanya pemberita mengenai jam tangan Omega yang berhubung kait dengan video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang.

Sama seperti isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Anwar dilihat tidak mampu mengawal emosi pada satu sidang akhbar di sebuah hotel di sini apabila ditanya mengenai jam tangan tersebut.

Beliau sebaliknya menyalahkan media kerana bertanyakan soalan itu yang disifatkannya tidak ada kaitan dengan sidang akhbar yang diadakan.

“Kenapa jam ini ada kaitan dengan sidang akhbar ini? Isteri saya telah menjawab mengenai isu ini. Mengapa saya perlu jawab, nanti anda akan tanya pula sama ada saya mengunjungi hotel dan hotel mana,’’ katanya.

Menjawab soalan wartawan itu lagi, Anwar berkata, beliau tahu soalan itu bertujuan untuk membantu Utusan Malaysia melaporkan yang beliau gagal menjawab mengenai isu tersebut.

Anwar pada masa yang sama mendakwa polis masih belum memintanya untuk menyerahkan jam tangan tersebut bagi membantu siasatan berhubung kes video berkenaan.

Kata Anwar, beliau mahu polis untuk menanya dan mengambil sendiri jam tangan itu.

‘‘Anda tanya ada polis minta? Saya beritahu polis tak minta. Biar polis yang menanya. Mengapa saya perlu menjawab mengenai soal ini? Biar polis yang buat,” katanya.

-Utusan

Facebook Comments

Comments are closed.

Close