Dominique Ng Kim Ho Hilang Wang Pertaruhan

Calon Bebas bagi kerusi Padungan, Dominique Ng Kim Ho berkata, sekelumit pun tidak berasa kesal bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 walaupun gagal mempertahankan kerusi itu.

“Saya tidak berasa kesal. Saya hormati keputusan pengundi,” katanya kepada pemberita di pusat penjumlahan undi di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini malam tadi.

Menyifatkan kekalahan itu sebagai paling teruk dalam hidupnya, Dominique berkata, beliau amat terkejut apabila mendapat tahu yang beliau di tempat tercorot dengan hanya memperoleh 439 undi.

Beliau kehilangan deposit RM5,000.

“Saya perlukan masa untuk memikirkan apa yang akan saya lakukan selepas ini. Saya perlukan rehat,” katanya.

Semasa ditanya mengenai kenyataannya sebelum ini yang beliau akan mengundurkan diri daripada politik sekiranya beliau menduduki tempat tercorot dalam pilihan raya ini, peguam berusia 50 tahun itu berkata: “Itulah yang saya bercadang lakukan buat masa ini tetapi ramai orang minta saya menimbangkannya semula.

“Saya perlukan masa untuk memikirkannya,” katanya.

Dominique keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding sebagai calon Bebas selepas beliau tidak dipilih oleh parti untuk mempertahankan kerusi itu.

Wong King Wei dari DAP memenangi kerusi Padungan dengan majoriti 7,884 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Sim Kiang Chiok. King Wei memperoleh 11,957 undi manakala Kiang Chiok mendapat 4,073 undi.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close