Bekas Pegawai Bank Mengaku Tidak Bersalah Pecah Amanah RM14j

Bekas ketua pusat khidmat pelanggan Bank Muamalat Berhad, Aishah Mohamed Rose, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap lima pertuduhan pecah amanah jenayah wang milik bank itu berjumlah RM14.2 juta enam tahun lepas.

Suami Aishah, Johari Ahmad, 54, bersama seorang Pegawai Logistik Motorola Technology Sdn. Bhd., Azman Abdul Aziz, 49, pula dihadapkan ke mahkamah yang sama dan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Aishah melakukan jenayah itu.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula dan membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 setiap seorang dan dokumen perjalanan masing-masing diserahkan kepada mahkamah.

Aishah, 50, dituduh melakukan kelima-lima kesalahan itu di Bank Muamalat Berhad, Universiti Sains Malaysia di Jalan Minden, antara 27 Januari 2005 dan 16 Julai 2009.

Bagi kesalahan pertama, dia dituduh melakukan pecah amanah jenayah wang milik bank itu sebanyak RM3,363,936.94 antara 27 dan 3 Januari 2005.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close