Banci Ekonomi Tahun 2011

Selepas berjaya melaksana dan mengeluarkan Laporan Kiraan Permulaan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 pada 22 Disember tahun lalu, Jabatan Perangkaan akan melaksanakan pula Banci Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata projek besar itu dijalankan bagi mengumpul statistik berkaitan prestasi ekonomi negara.

“Ia memerlukan perancangan yang rapi bagi memastikan ia dijalankan mengikut jadual,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perangkaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Nor Mohamed berkata, selain itu, Jabatan Perangkaan akan turut mengeluarkan Laporan Ciri-Ciri Asas Demografi pada Julai ini.

Beliau berkata, bagi mengukur kejayaan pelbagai dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan, input serta statistik berkaitan amat penting.

Justeru, katanya, Jabatan Perangkaan selaku agensi utama pengumpulan data rasmi negara harus bersedia dan berkeupayaan untuk membekalkan data yang diperlukan.

Pada majlis itu, seramai 237 kakitangan jabatan berkenaan menerima anugerah khidmat cemerlang manakala 27 orang menerima sijil anjakan gaji.

– BERNAMA

Facebook Comments
Close