Banjir Di Kedah: 18 Keluarga Dipindahkan

Seramai 75 orang daripada 18 keluarga di Kampung Sungai Tengas, Serdang dekat sini terpaksa berpindah ke Dewan Orang Ramai kampung itu setelah rumah mereka dilanda banjir kilat malam tadi.

Banjir kilat yang berlaku akibat Sungai Tengas dilimpahi air setelah hujan lebat yang turun sejak 6 petang hingga 9 malam tadi menyebabkan kawasan kediaman di kampung berkenaan sekitar Sekolah Kebangsaan Sungai Tengas, dinaiki air antara 0.8 meter sehingga 1.2 meter.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, DSP Helmi Hashim, berkata jalan ke kampung tersebut juga ditenggelami air antara 0.5 hingga 0.8 meter dan tidak boleh digunakan kenderaan ringan.

Jalan raya di KM25 Kulim-Serdang terputus dan tidak dapat digunakan kenderaan kecil akibat Sungai Punti yang menjadi sempadan Daerah Bandar Baharu dan Kulim telah melimpah di sekitar kawasan tersebut

Sementara itu, Wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmi Abdul Khan, berkata kerja-kerja untuk memindahkan mangsa banjir tidak dapat dijalankan dengan lancar berikutan bekalan eletrik ke kawasan terbabit terputus sejak 8 malam tadi.

“Bagaimana pihak kami, kakitangan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang berusaha mengatasi malah itu secepat mungkin,” katanya. – BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close