Ubatilah Penyakitmu!

Suatu hari Nabi Musa terkena sejenis penyakit. Apabila kaum Bani Israel mengetahuinya, mereka segera menemui Nabi Musa untuk membantu merawat baginda menggunakan sejenis tumbuhan.

“Kalau berubat dengan tumbuhan yang kami bawa ini nescaya kamu (Musa) akan sembuh!” kata kaumnya.

Penyakit tersebut pernah menimpa kaum Bani Israel sebelum itu tetapi apabila diubati dengan tumbuhan tersebut terus sembuh. Namun, permintaan Bani Israel itu ditolak Nabi Musa.

“Aku tidak akan berubat sehinggalah aku disembuhkan oleh Allah s.w.t tanpa menggunakan ubat!”

Setelah gagal memujuk, kaum Bani Israel meninggalkan Nabi Musa sendirian. Setelah beberapa lama, penyakit yang dihidapi Nabi Musa tidak juga sembuh-sembuh.

Nabi Musa tetap bertawakal supaya Allah menyembuhkan penyakitnya. Ketika Nabi Musa sedang bermunajat, Allah berfirman:

“Wahai Musa, demi kemuliaan-Ku dan keagungan-Ku, Aku tidak akan menyembuhkan penyakit kamu sebelum kamu berubat dengan ubat yang mereka sebutkan kepadamu!”

Selepas mendapat Wahyu itu, Nabi Musa lantas meminta kaumnya segera mengubatinya dengan tumbuhan tersebut. Dengan izin Allah, maka sembuhlah penyakit Nabi Musa. Bila sembuh, Nabi Musa meresa kurang senang kerana tumbuhan itu yang telah menyembuhkan penyakitnya.

Allah berfirman lagi: Wahai Musa, apakah kamu menghendaki Aku batalkan hikmah-Ku dengan tawakalnya engkau kepada-Ku!”

“Tidakkah kamu fikir bahawa siapakah yang meletakkan ubat pada tumbuh-tumbuhan itu untuk memberi manfaat kepada sesuatu. Bukankah aku yang menjadikannya?”

Nabi Musa merasa malu apabila mendengar firman Allah itu. Fahamlah baginda, bahawa setiap penyakit ada penawarnya, kecuali mati!.

**Dipetik dari Majalah Mastika.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close