Penyamun ‘Budiman’ Toreh Guru

KULIM – Malang sungguh nasib cikgu ini. Ketika melalui jalan di hadapan kilang Inokom di Padang Meha, dekat sini, kira-kira jam 10.40 malam semalam, dia yang berkereta didekati dua lelaki bermotosikal yang memberitahu pintu keretanya tidak ditutup rapat. 

Berikutan itu, guru lelaki yang berusia 30an ini lantas berhenti untuk memeriksa pintu berkenaan. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, apabila guru itu berhenti, dua lelaki yang pada mulanya disangka budiman itu pantas menghampirinya dan terus meluru masuk ke dalam kereta mangsa. 

“Dua penjenayah itu yang bersenjata pisau mengugut mangsa supaya menyerahkan wang jika tidak mahu dicederakan,” katanya.

Ugutan dua penjenayah ‘budiman’ itu bagaimanapun ternyata tidak menggentarkan cikgu berkenaan.

“Dia berkeras tidak mahu mengikut kehendak mereka, menyebabkan mereka naik berang lalu menoreh dada dan tangan kirinya,” kata Su Song.

Pegawai kanan polis itu berkata, selepas mencederakan mangsa, kedua-dua lelaki berkenaan terus melarikan diri tanpa mendapat sesenpun wang samun.

Mangsa yang dalam keadaan cedera terus memandu kereta ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Su Song berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun dan mendatangkan kecederaan.
“Polis mengharapkan kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat mengenai kejadian itu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama yang memandu seorang diri supaya mengelak daripada berhenti di tempat gelap dan sunyi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Selain itu, kita harus curiga kepada orang tidak dikenali yang berpura-pura budiman,” katanya.

Sumber dari Sinar Harian Online.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close