Main kucing: Jiran simbah air panas

GEMAS: Sungguh kejam apabila seorang lelaki tergamak menyimbah air panas terhadap seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang bermain dengan anak kucing peliharaannya, di Taman Pasir Besar, dekat sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 itu, mangsa, Mohd Saifudin Azahar, yang melecur pada bahu kiri dan paha kanannya dikejarkan ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan.

Ketika kejadian, kanak-kanak malang itu dikatakan bermain seorang diri dengan seekor anak kucing peliharaan jirannya itu di belakang rumah lelaki terbabit.

Tiba-tiba seorang lelaki berusia 39 tahun itu membuka pintu belakang rumahnya lalu memarahi kanak-kanak itu sebelum dia masuk semula ke dalam rumahnya.

Sejurus kemudian, lelaki itu sekali lagi muncul lalu menyimbah mangsa menggunakan air panas menyebabkan kanak-kanak itu meraung kesakitan.

Jeritan kanak-kanak itu didengari kakaknya yang berusia sembilan tahun lalu bergegas mendapatkan adiknya yang dalam kesakitan.

Terkejut dengan kejadian menimpa adiknya itu, kakak mangsa memanggil ibunya yang bekerja di sebuah kedai perabot tidak jauh dari rumahnya.

Ibu mangsa, Normawati Mokhtar, 38, berkata dia bergegas balik ke rumah selepas dimaklumkan kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya terus membawa Mohd Saifudin ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Tampin untuk rawatan susulan.

“Sebelum ini, lelaki terbabit pernah menyiram anak saya dengan air sejuk dan saya tidak sangka disebabkan seekor anak kucing, dia sanggup melakukan perbuatan ini,” katanya, semalam.

Menurutnya, sebelum ini beliau menyangkakan jirannya itu hanya bergurau apabila menyiram anaknya itu dengan air sejuk.

Katanya, disebabkan perbuatan melampau itu dia membuat laporan di Balai Polis Gemas. Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, lelaki terbabit sudah ditahan di rumahnya malam kelmarin dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM), Daerah Tampin, Nasrudin Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengarahkan seorang pegawai bahagian kanak-kanak untuk menjalankan siasatan.

*Petikan dari Harian metro

Facebook Comments
Close