Mesyuarat Khas Pas

Jawatankuasa pusat PAS dengan barisan pesuruhjaya negeri akan bertemu Rabu ini bagi membincangkan isu yang dibangkitkan oleh mursyidul amnya, termasuk satu muktamar khas.

Lebih kurang 60 pemimpin parti itu, termasuk Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan, akan diundang untuk membahaskan isu tersebut.

Dalam sidang medianya di Kuala Lumpur pagi ini, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali bagaimanapun berkata beliau tidak pasti sama ada menteri besar itu – yang paling berkeras dengan isu tersebut – akan turut hadir.

Mengulas cadangan mengadakan muktamar khas, kontroversi terbaru yang dilontarkan oleh Nik Aziz minggu lalu, Mustafa berkata perlembagaan PAS membolehkan satu mesyuarat agung luar biasa diadakan apabila:

– ia dipanggil oleh presiden parti,
– satu pertiga daripada 37 anggota jawatankuasa pusat menulis surat memohon mengadakannya, dan
– satu pertiga kawasan-kawasan PAS menulis untuk berbuat demikian.

Menulis di blognya Khamis lepas, Nik Aziz menggesa satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan “beberapa pemimpin bermasalah” kerana masih berpegang kepada idea kerajaan perpaduan dengan Umno.

Beliau mengulas analisis politik seorang pensyarah undang-undang Dr Abdul Aziz Bari yang mengaitkan ketewasan teruk PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan kekalutan, yang melibatkan pemimpin parti itu, dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Di sidang media sama, Mustafa turut menafikan kontroversi terbaru itu satu masalah dalaman parti seperti ditanggap pihak luar, antaranya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mustafa juga berkata isu kerajaan perpaduan PAS-Umno “sudah ditutup” dalam muktamar lalu dan kini parti itu sedia bekerjasama dengan dua lagi rakannya dalam Pakatan Rakyat.

* Di petik dari Malaysiakini

Facebook Comments
Close